Total Pageviews

Sunday 23 October 2011

TEACHING GAMES FOR UNDERSTANDING

PENGENALAN

Pendekatan  TGFU sebenarnya telah diperkatakan lebih dari dua dekad dan bermula di United Kingdom pada awal 1980an. Thorpe,Bunker dan Almond merupakan antara perintis yang menerajui model pendekatan TGFU ini. Konsep pendekatannya yang mesra kanak-kanak dan sesuai dengan fitrah kanak-kanak yang gemar bermain menjadikannya istimewa.

            Idea untuk memperkenalkan TGFU tercetus apabila didapati para pelajar kurang berminat terhadap pelajaran Pendidikan Jasmani yang menekankan kepada prestasi penguasaan kemahiran, pengetahuan atau teknik sesuatu permainan dan pergantungan terhadap jurulatih atau guru untuk membuat keputusan dalam sesuatu permainan.

            Sehubungan dengan itu, kepelbagaian jenis permainan yang  sedia ada menjadi asas kepada pendekatan ini. Dalam konteks ini, pelajar bukan sahaja harus mengetahui apa yang perlu untuk kejayaan sesuatu permainan,  malah yang lebih penting lagi bila dan mengapa untuk membuat keputusan yang dinamik dalam sesebuah permainan. Tuntasnya, model TGFU bukan sahaja melahirkan pemain yang lebih bak dan berpengetahuan malahan turut memotivasikan peserta semasa mengambil bahagian dalam pelbagai permainan.

            Melalui pendekatan ‘Saya Boleh’ pelajar boleh mengambil bahagian dalam permainan yang sesuai dengan tahap perkembangan kemahiran mereka pada ketika itu. Lebih-lebih lagi, mereka dapat meningkatkan pemahaman yang dinamik terhadap asas-asas permainan yang akhirnya menjadikan mereka lebih bersedia dan termotivasi untuk melabur masa dan tenaga yang diperlukan dalam meningkatkan kemahiran teknikal mereka seterusnya merealisasikannya dalam permainan sebenar.

KONSEP DAN DEFINISI TGFU

Dalam melahirkan ahli sukan dan pemain yang berkualiti, pendedahan terhadap disiplin sukan perlulah didedahkan pada peringkat awal lagi seperti pada peringkat pra sekolah atau sekolah rendah. Namun, terdapat pelbagai kekangan dalam memperkenalkan  sesuatu sukan permainan, contohnya pelajar kita yang berumur   5 – 9 tahun tidak sesuai lagi dari segi fizikal untuk bermain bola sepak menggunakan ukuran padang yang piawai seperti orang dewasa begitu juga dengan acara sukan lain. Infrastruktur yang sedia ada juga merupakan kekangan utama misalnya, gelanggang dan alatan. Undang-undang permainan yang sukar difahami dan dikuasai turut menjadi masalah. Dalam situasi ini, pendekatan TGFU amat sesuai diaplikasikan.

            Pendekatan TGFU menyarankan sesuatu permainan  diadaptasi daripada  permainan sebenar tetapi diubahsuai berdasarkan keupayaan pemain dari aspek fizikal, sosial serta intelek mereka dan infrastuktur yang bersesuaian. Dalam sesuatu permainan TGFU prosedur berpasukan dan gelanggang permainan turut  diubahsuai mengikut kesesuaian.

Seterusnya, penekanan diberikan kepada apresiasi permainan seperti aspek peraturan permainan atau undang-undang yang diubahsuai serta diberi variasi untuk menarik minat pemain. Pelajar juga diberi peluang dan ruang untuk mencuba di pelbagai posisi yang berlainan. Dalam erti kata lain, permainan TGFU mempunyai undang-undang permainan yang mengandungi peraturan-peraturan yang minimum dan senang difahami serta ditafsir.

Kesedaran taktikal akan dikuasai semasa proses permainan dalam usaha untuk mengatasi pihak lawan. Bimbingan yang berterusan daripada jurulatih atau guru akan memantapkan pemahaman pelajar terhadap kesedaran taktikal iaitu aspek prinsip pergerakan, ruang dan masa, situasi lanjut dan cara mengesan kelemahan pihak lawan. Sesi perbincangan  amat digalakkan sebagai proses untuk membolehkan pelajar mendalami  idea dan memahami penyelesaian masalah taktikal.

Selain itu, secara tidak langsung para pemain akan berhadapan dengan situasi yang bakal membimbing mereka ke arah kemahiran membuat keputusan seperti, menilai situasi untuk menentukan apa yang perlu dilakukan, mengenalpasti dan menjangkakan kemungkinan serta membuat tindakan yang sesuai mengikut situasi dan keadaan.

Permainan dalam bentuk ini melibatkan satu atau lebih kemahiran asas, malah pendekatan ini berkonsepkan ansur maju dengan mempraktikkan kemahiran yang mudah dan yang telah dikuasai. Penguasaan kemahiran sedia ada akan membantu untuk menghasilkan pergerakan sebenar dalam situasi permainan.

Prestasi kemahiran dan penguasaan strategi dinilai mengikut kriteria berasaskan kebolehan individu. Kriteria ini memberi fokus kepada keupayaan pemain bertindak balas terhadap teknik-teknik tertentu. Permainan TGFU ini sebenarnya menjadi medan untuk para pemain mengasah bakat dan seterusnya membentuk kemahiran yang kukuh bagi menyediakan pemain ke peringkat yang lebih tinggi.

Pendekatan TGFU ini menyarankan agar teknik diperkemaskan apabila pelajar sudah menguasai taktik dan strategi yang secara teknikalnya diperolehi semasa permainan TGFU dilaksanakan. Kemahiran diperkenalkan dalam bentuk permainan dan bukannya latih tubi terhadap kemahiran itu sendiri.

Dalam konteks ini, konsep TGFU dalam perspektif Pendidikan Jasmani di Malaysia hampir menyamai perlaksanaan  sukan mini. Ringkasnya, pendekatan ini membolehkan serta memudahkan proses pemahaman pelajar serta memberi motivasi kepada pelajar untuk mempelajari kemahiran setelah melihat kepentingan kemahiran dalam pertandingan.


   


  


  
 









No comments:

Post a Comment