Total Pageviews

Wednesday, 19 October 2011

perbezaan antara strategi, pendekatan, kaedah & teknik

1.    KONSEP STRATEGI, PENDEKATAN, KAEDAH DAN TEKNIK DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BAHASA MELAYU



PENDAHULUAN

            Pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu perlu bergerak seiring dengan kemajuan dan pembaharuan dalam pendidikan hari ini.  Objektif pengajaran dan pembelajaran mungkin sama, tetapi strategi, pendekatan, kaedah dan teknik yang digunakan oleh guru mestilah sentiasa pelbagai dan bersesuaian dengan keadaan sekarang.  Untuk itu, guru perlu benar-benar memahami konsep strategi, pendekatan, kaedah dan teknik.

KONSEP STRATEGI

            Menurut Kamus Dewan (1998), strategi merupakan rancangan yang teratur untuk mencapai matlamat atau kejayaan.  Strategi juga bermakna kebijaksanaan dalam menguruskan sesuatu perkara.  Dalam bidang pendidikan secara umumnya, strategi ialah kebijaksaan memilih pendekatan serta kecekapan merancang kaedah dan teknik dalam pengajaran dan pembelajaran berdasarkan objektif pelajaran yang telah ditentukan.

 Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu pula, strategi merujuk kepada suatu cara atau langkah atau tindakan yang harus dilakukan oleh guru bahasa untuk mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran.  Ia lebih menjurus dan menumpukan pencapaian atau hasil pembelajaran.

            Antara strategi yang boleh dijadikan panduan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah pendekatan berpusatkan murid, kepelbagaian teknik, kepelbagaian sumber bahan, penggunaan tatabahasa yang tepat, pengajaran dan pembelajaran bertema, bacaan luas, penggabungjalinan, penyerapan, penilaian, pemulihan dan pengayaan.







 KONSEP PENDEKATAN 

            Pendekatan ialah cara atau langkah-langkah yang diambil bagi memulakan dan melaksanakan sesuatu tugas ( Kamus Dewan, 1998).  Menurut Edward M. Anthony (1963), pendekatan ialas satu set andaian yang saling berkaitan dengan proses pengajaran dan pembelajaran.  Pada tahun 1986, Jack Richards dan Theodore Rodgers telah mengemukakan konsep kaedah sebagai 3 elemen iaitu pendekatan (andaian), reka bentuk (perhubungan antar teori, aktiviti dan bahan) dan prosedur (teknik dan praktikal).

Di dalam konteks pengajaran dan pembelajaran bahasa, pendekatan bermakna cara mendekati sesuatu contohnya objektif pelajaran yang ditentukan untuk pengajaran dan pembelajaran.  Kesimpulannya, pendekatan merujuk kepada cara bagaimana bahasa Melayu diajarkan untuk mencapat objektif.

            Antara pendekatan yang boleh digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa ialah pendekatan induktif, pendekatan deduktif, pendekatan eklektik, pendekatan komunikatif dan pendekatan oral.

KONSEP KAEDAH

            Menurut Edward M. Anthony (1963), kaedah merujuk kepada satu ikhtiar keseluruhan yang dikehendaki dalam satu set prosedur yang tersusun dengan berlandaskan kepada sesuatu pendekatan yang dipilih. 

Dari perspektif pengajaran dan pembelajaran bahasa, kaedah ialah cara atau peraturan yang digunakan untuk melaksanakan sesuatu pengajaran secara teratur, kemas dan sistematik.  Kaedah merujuk kepada satu siri tindakan guru yang sistematik dengan tujuan mencapai objektif pelajaran yang spesifik dalam jangka pendek.  Dalam erti kata lain, kaedah mengajar ialah cara mendekati objektif pelajaran dengan langkah-langkah penyampaian yang tersusun.

Kaedah yang boleh digunakan dalam pengajaran bahasa ialah kaedah natural, kaedah tatabahasa terjemahan, kaedah terus, kaedah askar, kaedah ajukhafaz, kaedah linguistik, kaedah kod-kognitif, kaedah situasional, kaedah bahasa komunikasi, kaedah oral-aural, kaedah penglibatan tindak balas fizikal dan kaedah suggestopedia.

KONSEP TEKNIK

            Kamus Dewan edisi ketiga menyatakan teknik adalah kaedah mencipta sesuatu hasil seni seperti muzik, karang-mengarang dan sebagainya.

            Teknik menurut Edward M. Anthony pula ialah satu muslihat atau strategi atau taktik yang digunakan oleh guru bagi mencapai hasil segara dan maksimum pada waktu mengajar sesuatu bahagian bahasa tertentu.

            Kamaruddin B. Hj. Husin dan Siti Hajar B. Abdul Aziz dalam bukunya Pengajian Melayu III: Komunikasi Bahasa, teknik didefinisikan sebagai pengendalian suatu organisasi yang benar-benar berlaku di dalam bilik darjah di mana ia digunakan untuk mencapai sesuatu objektif.

            Di bawah konteks pengajaran bahasa, teknik ditakrifkan sebagai kemahiran atau kecekapan guru digunakan untuk pengelolaan dan pelaksanaan kaedah mengajar dalam sesuatu aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

            Terdapat pelbagai teknik dalam pengajaran bahasa.  Antaranya ialah teknik main peranan, latih tubi, bercerita, inkuiri, perbahasan, kuiz, sumbangsaran, soal jawab, simulasi, drama, perbincangan, forum, dialog, permainan bahasa, bercakap, menyanyi, perbualan telefon, penyelesaian masalah, tunjuk cara, penyampaian berita, penyampaian laporan, bersyarah, berpuisi dan teknik bermesyuarat.



















RINGKASAN KONSEP



ITEM

KONSEP
CONTOH
Strategi
Langkah untuk mencapai objektif pelajaran.
Pendekatan berpusatkan murid, kepelbagaian teknik, kepelbagaian sumber bahan.

Pendekatan
Cara objektif pelajaran dicapai.
Pendekatan induktif, deduktif, eklektik.

Kaedah
Cara mendekati objektif pelajaran dengan langkah pengajaran yang tersusun.

Kaedah natural, terjemahan, ajukhafaz, linguistik.
Teknik
Kemahiran guru untuk mengelolakan kaedah pengajaran.

Main peranan, latih tubi, bercerita, inkuiri.

No comments:

Post a Comment