JENIS MASALAH MEMBACA
Untuk mengenalpasti jenis masalah membaca, beberapa aktiviti tertentu boleh dilakukan oleh guru. Terdapat beberapa jenis masalah membaca yang kerap dihadapi oleh murid-murid.
i. Membuang atau meninggalkan huruf atau perkataan.
Jenis masalah ini ketara apabila murid tidak membunyikan atau meninggalkan bunyi huruf, perkataan dan imbuhan. Contohnya “kuah” disebut “uah”, “sering” disebut “serin”. Perkataan tertentu di dalam ayat juga kerap ditinggalkan semasa membaca. Contohnya, “ Meja itu sangat berat”, dibaca sebagai “Meja itu berat:” Adakalanya murid meninggalkan imbuhan tertentu contohnya dalam perkataan “melindungi” disebut sebagai “melindung”
ii. Mengulang perkataan
Murid yang berhadapan dengan masalah membaca kerap mengulang-mengulang perkataan atau suku kata tertentu semasa membaca. Perbuatan mengulang ini mungkin disebabkan murid tidak tahu untuk membunyikan perkataan seterusnya selepas sesuatu perkataan tertentu dibaca.
iii. Menggantikan huruf atau perkataan
Kadangkala, murid yang belum menguasai kemahiran menggantikan huruf atau perkataan dalam ayat yang dibaca. Contohnya “ladang” disebut “lalang”. Kadangkala, terdapat perkataan yang digantikan dengan perkataan lain sehingga mengubah maksud ayat tersebut.
iv. Menambah huruf atau perkataan
Bunyi huruf atau perkataan ditambah semasa membaca. Contohnya perkataan “ buah” akan dibaca sebagai “buwah”. Perkataan tertentu juga ditambah dalam ayat. Contohnya “ Saya suka makan roti” dibaca sebagai “ Saya sangat suka makan roti”
v. Huruf atau perkataan dibaca terbalik
Contohnya perkataan “bala” dibaca sebagai “laba”. Contoh ayat yang dibaca terbalik ialah “ Dia makan nasi” dibaca sebagai “Dia nasi makan”
vi. Tidak kenal huruf
Ini merupakan masalah utama dalam membaca. Kanak- kanak yang tidak mengenal huruf akan gagal untuk membaca dengan baik. Murid akan menyebut sesuatu huruf sesuka hati atau meneka sahaja huruf tersebut.
vii. Salah sebutan
Apabila murid tidak mengenal huruf atau tidak tahu membunyikan sesuatu huruf, mereka akan cenderung untuk melakukan kesalahan dalam menyebut huruf atau perkataan tersebut. Ini menyebabkan perkataan tersebut tidak bermakna dalam konteks ayat berkenaan.
viii. Masalah memahami bahan bacaan
Antara masalah dalam memahami bahan bacaan ialah gagal memahami maksud perkataan dan frasa, gagal membuat urutan idea atau peristiwa yang terdapat dalam teks, lambat memberi tindak balas kerana tidak memahami arahan yang dibaca, gagal menghubungkan sebab dan akibat dalam bahan bacaan seterusnya tidak dapat mentafsir atau menggunakan carta, graf, peta, rajah dan lain-lain dalam bahan bacaan.
PUNCA ATAU FAKTOR MASALAH MEMBACA
Menurut Guy L.B dan rakan-rakan (1994), punca masalah membaca boleh boleh dibahagikan kepada tiga faktor utama iaitu faktor fizikal, faktor kognitif dan bahasa serta faktor emosi, persekitaran dan pendidikan.
Faktor Fizikal
Antara faktor fizikal yang boleh mempengaruhi masalah membaca ialah masalah penglihatan, masalah pendengaran, masalah pertuturan dan masalah neurologikal iaitu kerosakan otak seperti serebral palsi, aphasia, terencat akal dan lain- lain.
Selain dari itu, faktor fizikal juga melibatkan masalah kesihatan. Contohnya seperti berikut:
i. Kekurangan makanan berzat akan merosakkan kesihatan murid seterusnya mempengaruhi kesediaan murid untuk belajar. Mereka tidak boleh menumpukan perhatian terhadap pengajaran guru, kurang bersemangat untuk menyiapkan kerja dan cepat letih.
ii. Murid yang kurang sihat mudah diserang pelbagai penyakit dan menyebabkan mereka ketinggalan dalam pelajaran.
Faktor Kognitif dan bahasa
Murid yang mempunyai tahap kecerdasan yang rendah dan terencat akal akan menghadapi masalah serius dalam menguasai kemahiran membaca. Ia berkait rapat dengan keupayaan mental murid tersebut. Selari dengan masalah ini ialah tahap kognitif yang rendah sehingga menyebabkan proses memperolehi kemahiran membaca menjdai sangat sukar. Antara simtom-simtom murid yang berhadapan dengan masalah ini ialah lambat berfikir, cepat lupa, sukar memahami sesuatu, lemah pengamatan dan lain-lain.
Faktor bahasa pula melibatkan bahasa penerimaan yang melibatkan keupayaan semantik dan sintaksis.
Faktor emosi, persekitaran dan pendidikan
Masalah membaca selalunya wujud seiring dengan faktor-faktor emosi yang memberi kesan yang besar terhadap penyesuaian individu dan sosial kanak-kanak. Ia juga berkait rapat dengan masalah psikologi. Masalah penyesuaian mungkin berpunca daripada faktor-faktor fizikal atau perawakan dan persekitaran yang boleh menyebabkan kegagalan membaca. Kegagalan membaca menjadikan murid kecewa dan menjejas emosi mereka.
Faktor persekitaran bagi murid yang kurang beruntung seperti tidak mendapat kasih sayang keluarga, kurang zat makanan, tiada galakan keluarga dan lain-lain akan menjejaskan pencapaian mereka dalam pelajaran termasuk keupayaan membaca.
Faktor pendidikan adalah seperti tidak menyediakan peluang pengajaran secara individu, tidak memberi perhatian terhadap kesediaan membaca kanak-kanak, mengabaikan kemahiran membaca dalam kebanyakan aktiviti sekolah, penggunaan teknik pengajaran yang kurang berkesan dan lain-lain.
No comments:
Post a Comment